Banyak kerusi kosong kelihatan sekitar jam 10 pagi di luar bilik mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kerling pada PRK Kuala Kubu Baharu.
HULU SELANGOR: Ketika pusat mengundi PRK Kuala Kubu Baharu ‘meriah’ dengan kehadiran pengundi sejak 8 pagi tadi, lain pula ceritanya di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kerling yang lengang.
Tinjauan FMT ke pusat mengundi selama sejam sehingga 11 pagi mendapati tidak ramai pengundi hadir menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu menggantikan Lee Kee Hiong yang meninggal dunia 21 Mac lalu.
Seorang pengundi Priya Murugam, 39, ketika ditemui hairan mengapa keadaan itu berbeza dengan ketika PRN Selangor dan PRU15 yang lalu.
“Dahulu kalau pergi waktu begini kena beratur panjang. Tapi mungkin juga mereka datang mengundi sebelah petang nanti.
“Sebab di sini ramai kerja di ladang, pagi bekerja dahulu dan sebelah petang baru datang,” katanya yang turut menemani ibunya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pusat mengundi itu mempunyai 1,235 pengundi berdaftar, majoritinya dari komuniti India.
Sebahagian pengundi menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kerling.
Seramai 39,269 pengundi layak untuk mengundi hari ini dengan 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran disediakan.
Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka sehingga 6 petang kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, akan ditutup pada 2 petang.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, 32.5% pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu.
Penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 9 malam.
PRK itu menyaksikan saingan empat penjuru antara Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Source link