Bersama dengan SYM ADXTG 400, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan sebuah lagi skuter, iaitu daripada jenama QJMotor, AX200S. Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu coklat, biru dan kelabu, pada harga RM7,988 tidak termasuk insurans.
Menggerakkan AX200S ini adalah enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair, suntikan bahan api 175 cc, bersama transmisi automatik CVT dengan pacuan akhir tali sawat, menghasilkan kuasa 17 hp pada 8,500 rpm dan tork 15.2 Nm pada 6,500 rpm.
Bahagian rodanya menggunakan rim 14 inci, dengan tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, dan kedua-duanya juga dilengkapi dengan brek cakera tunggal, lengkap bersama sistem ABS. Turut membantu ciri keselamatannya adalah sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup).
Memegang bahagian roda adalah fork teleskopik di hadapan, dan dua penyerap hentak dengan tabung di belakang. Di bahagian kokpit, skuter ini menggunakan panel LCD berwarna untuk memaparkan informasi penting, dan ia juga didatangkan sekali dengan sistem kunci pintar, lampu jenis LED serta tangki bahan api 10 liter.
Berat keseluruhan AX200S adalah 127 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 780 mm. Di bawah tempat duduknya masih terdapat ruang simpanan yang boleh menempatkan helmet.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.