PETALING JAYA: Seorang wanita kerugian RM70,000 selepas terpedaya dengan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Tangkak, Roslan Mohd Talib, berkata mangsa berusia 55 tahun membuat laporan Ahad lalu.
“Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon dan disambungkan ke Balai Polis Ampang dan berhubung dengan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Mangsa kemudian diberitahu dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan diminta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan suspek pada akaun bank miliknya untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Roslan berkata, mangsa menyedari ditipu selepas mendapati wang dalam akaun bank miliknya berkurangan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan penipuan dalam talian.
“Sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan ‘scam’ melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
“Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa ‘scam’, sila hubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” katanya.