Dianggarkan 5,600 keluarga terjejas akibat banjir di Sarawak pada Februari lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) Douglas Uggah Embas meminta mangsa banjir di beberapa kawasan di negeri ini pada Februari lalu yang belum menerima bantuan kewangan kerajaan bersabar.
Katanya, dianggarkan 5,600 keluarga terjejas akibat bencana itu dan proses penyaluran bantuan memerlukan sedikit masa.
“Setakat ini kita telah salurkan bantuan kepada kira-kira 3,600 keluarga dengan setiap keluarga menerima RM1,000.
“Proses pengesahan dan mendapatkan butiran baki keluarga yang belum menerima bantuan akan mengambil sedikit masa dan pembayaran dilakukan secara dalam talian oleh Pejabat Daerah,” katanya ditemui pemberita pada program ziarah Aidilfitri di Kampung Spaoh, Betong, menurut Bernama.
Beliau berkata, pejabat daerah memiliki semua data keluarga yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika bencana untuk memudahkan proses penyaluran bantuan.
“Bagi mangsa yang memilih untuk tidak berpindah ke PPS, kita tetap akan beri bantuan, namun perlu tunggu pengesahan daripada pejabat daerah dan mendapatkan maklumat mengapa mereka memilih untuk tidak berpindah. Sekiranya alasan mereka munasabah, kita akan salur bantuan,” katanya.
Mengenai kerosakan jalan raya dan rumah panjang akibat banjir serta hakisan tanah, Uggah yang juga timbalan premier Sarawak berkata Kabinet negeri pada mesyuarat baru-baru ini meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk kerja-kerja pembaikan atau pemulihan.
Menteri infrastruktur dan pembangunan pelabuhan Sarawak itu berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri bertindak pantas dalam melaksanakan tugas berkenaan dan kebanyakan jalan yang terjejas sudah dibaiki.
“Bagi kerosakan yang lebih teruk, kita masih jalankan penilaian. Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk meredakan kebimbangan dan tekanan dialami oleh mangsa banjir dan rakyat,” katanya.
Source link