Maszlee Malik melawat seorang guru pendidikan khas di Hospital Kajang. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mencari penyelesaian kepada masalah kesesakan di Hospital Kajang.
Menerusi bebenang di Twitter, beliau berkata pesakit ditempatkan di wad kecemasan kerana kekurangan katil di wad biasa.
Beliau membuat pemerhatian itu selepas melawat guru pendidikan khas, Hasmadi Hamdan.
“Dia telah ditempatkan di wad kecemasan sejak 7 pagi semalam (kelmarin) kerana Hospital Kajang tidak mempunyai katil yang mencukupi untuk pesakit.
“Bersamanya terdapat 20 pesakit lain yang turut menunggu katil di wad biasa.
“Saya berharap Kementerian Kesihatan akan melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan di Hospital Kajang untuk penduduk Kajang dan sekitarnya.”
Maszlee meletakkan tag kementerian itu dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada hantarannya.
Pada Disember tahun lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kementerian sedang merangka rancangan untuk menyelesaikan masalah kesesakan di hospital seluruh negara.
Beliau berkata isu kesesakan itu juga telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018, yang diterbitkan pada 24 Jun 2019.
Ia mengenal pasti punca yang menyumbang kepada kesesakan, termasuk peruntukan yang tidak mencukupi, kekurangan kakitangan kesihatan dan kekurangan kemudahan untuk memenuhi keperluan pesakit.