Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer digantung tugas selama enam bulan selepas mendakwa berlaku campur tangan dalam sekurang-kurangnya dua kes besar, selain mengkritik seorang bekas ketua hakim negara.
PETALING JAYA: Kerajaan wajar menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman dalam kes berprofil tinggi seperti didakwa seorang hakim bersara, kata peguam.
Bastian Pius Vendargon berkata beberapa pendedahan dan aduan telah timbul berkaitan isu berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
“Adalah diharapkan panel yang bebas, berkecuali, objektif dan berani akan dilantik untuk memastikan keadilan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas cadangan Jemaah Menteri supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan dibangkitkan dalam memoir kontroversi bekas Peguam Negara Tommy Thomas.
Menteri Undang-undang Azalina Othman Said menegaskan RCI itu bertujuan mencungkil kebenaran dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk membaharui institusi perundangan negara.
Pada Ogos 2018, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer mendedahkan beliau telah ditegur hakim kanan kerana memberi penghakiman bertentangan dalam kes penukaran agama secara unilateral.
Katanya, hakim yang tidak didedahkan identiti itu menegurnya secara keras dan tidak bersesuaian dengan seseorang yang memegang jawatan seumpama itu.
Pada Februari 2019, Hamid mengesahkan afidavit sepanjang 65 muka surat menyokong saman difailkan peguam Sangeet Kaur Deo terhadap ketua hakim negara ketika itu, Richard Malanjum.
Afidavit yang tersebar luas itu mengatakan Malanjum gagal dalam tugasnya untuk melindungi dan memelihara kewibawaan badan kehakiman.
Hamid turut mendakwa berlaku campur tangan dalam kes liwat kedua terhadap Anwar Ibrahim, dan rayuan kes hasutan oleh mendiang Karpal Singh.
Susulan dakwaan itu, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha merekodkan kenyataan daripada Hamid, tetapi beliau menegaskan hanya akan membuat pendedahan di RCI.
Susulan aduan dikemukakan dua hakim, Hamid yang diwakili pasukan peguam diketuai Vendargon, diarah menghadap Jawatankuasa Etika Hakim.Pada Februari 2021, beliau digantung tugas selama enam bulan seterusnya menjadikannya hakim pertama menerima hukuman seumpama itu sejak Akta Jawatankuasa Etika Kehakiman 2010 diwartakan.