IDEAS berkata, proses dan hasil siasatan yang tidak dihebahkan memberi kesan kepada kemungkinan berlakunya kesilapan di bahagian lain dalam ekosistem digital.
PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir menggesa agensi keselamatan siber Malaysia lebih telus dalam siasatan mengenai kebocoran data dalam usaha mengukuhkan ekosistem perdagangan digital negara.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, ketika ini Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) tidak mendedahkan siasatannya walaupun ada beberapa kes dibawa ke mahkamah dan dikenakan kompaun.
“Proses dan hasil siasatan tidak dihebahkan memberi kesan kepada kemungkinan berlakunya kesilapan di bahagian lain dalam ekosistem digital,” katanya.
IDEAS berkata, menghebahkan siasatan boleh memberi kesan kepada reputasi syarikat terlibat tetapi ia juga penting kerana akan meningkatkan sikap berjaga-jaga terhadap kejadian keselamatan siber dan kebocoran data.
Cadangan ini adalah satu daripada lima cadangan dalam laporan “Strengthening the Digital Trade Ecosystem: The Next Frontier for Malaysia” dengan sokongan Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia.
Laporan dasar itu memfokuskan dua komponen kritikal ekosistem perdagangan digital, iaitu mengenakan cukai terhadap ekonomi digital dan kebimbangan keselamatan siber.
Pengarah Penyelidikan IDEAS, Juita Mohamad dalam satu kenyataan berkata, salah satu kebimbangan terbesar di Malaysia adalah perancangan dan pengenalan bentuk cukai baharu untuk ekonomi digital dan aktiviti perdagangan digital.
IDEAS juga menggesa garis panduan pelaksanaan yang jelas dalam pengenalan kepada bentuk cukai baharu untuk perdagangan digital dan ekonomi digital termasuk penilaian impak bagi langkah-langkah tersebut.
Badan itu juga mencadangkan latihan pembinaan kapasiti dan kerjasama dengan negara yang telah membangunkan rangka kerja percukaian yang teguh seperti Australia dan Singapura untuk berkongsi amalan terbaik mereka.
Mengenai keselamatan siber IDEAS mencadangkan Malaysia menggunakan Perjanjian Ekonomi Digital (DEA) dan Zon Perdagangan Bebas Digital.
“Ini bagi terus membina persekitaran berasaskan peraturan untuk rangka kerja percukaian siber dan digital serta memastikan kepentingan Malaysia dilindungi dan industrinya digalakkan,” kata Juita.