PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang menilai pelan perniagaan terperinci U Mobile Sdn Bhd untuk pelancaran rangkaian 5G kedua negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beliau menjangkakan notis anugerah akan dikeluarkan kepada U Mobile dalam masa sebulan.
“Ini akan membolehkan U Mobile memulakan pembangunan rangkaian 5G kedua, tertakluk kelulusan pelan perniagaan terperinci yang dikemukakannya,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Fahmi berkata, syarikat telekomunikasi itu juga perlu menyelesaikan beberapa obligasi di bawah perjanjian pemegang saham yang ditandatangani U Mobile dan penyedia rangkaian mudah alih lain dengan Digital Nasional Bhd (DNB) sebelum menubuhkan rangkaian 5G kedua.
FMT difahamkan SKMM turut menilai pelan perniagaan terperinci DNB.
Menurutnya, proses menyelesaikan obligasi ini, yang tidak dihuraikannya secara terperinci, dijangka mengambil masa kira-kira lima bulan.
“Bagaimanapun, U Mobile boleh menjalankan kerja-kerja awal di tapak berdasarkan pelan perniagaan terperinci, selepas diluluskan SKMM.”
U Mobile memeterai memorandum persefahaman dengan CIMB Bank Bhd bulan lalu untuk melanjutkan sokongan pembiayaan untuk pelancaran 5G akan datang.
Pengerusinya, Vincent Tan dilaporkan berkata, syarikat itu merancang melancarkan rangkaian itu secara bebas dalam tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang, tanpa bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan.
Tan berkata, beliau sebaliknya mengintai kerjasama dengan pembekal telekomunikasi China, Huawei Technologies Co Ltd dan ZTE Corp.