CYBERJAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyarankan semua syarikat kurier di negara ini menyertai program latihan pasport keselamatan kurier, bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan pekerja dan kecekapan penghantaran bungkusan.
Beliau berkata, selain itu program berkenaan juga bertujuan memastikan pengendalian bungkusan barang yang selamat dan menyediakan kemahiran diperlukan pekerja industri kurier untuk melaksanakan tugas dengan baik.
“Ini adalah usaha beberapa pihak bagi memberi penekanan kepada syarikat kurier untuk mereka menitikberatkan aspek keselamatan pekerja dan penghantaran bungkusan.
“Ini satu usaha yang cukup kita raikan dan kita sambut dengan baik, kita harap lebih banyak syarikat kurier akan terlibat pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas melancarkan Hari Kurier Negara 2024 yang turut dihadiri timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa.
Hari Kurier Negara disambut secara rasmi pada 1 Nov 2024 bagi mengiktiraf dan menghargai lebih 160,000 pekerja kurier di negara ini.
Fahmi berkata, sehingga kini terdapat 104 syarikat kurier yang merupakan pemegang lesen pos dan kurier dalam negara, yang menguruskan hampir 97% penghantaran bungkusan kepada pelanggan.
Dalam majlis itu, Fahmi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Syarikat Penghantaran Express Malaysia (Amec) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk pelaksanaan program tersebut.
Terdahulu, Fahmi ketika berucap dalam majlis itu berkata industri kurier menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 160,000 rakyat Malaysia dan dijangka terus berkembang selaras sasaran kadar pertumbuhan kerajaan sebanyak 30 bungkusan per kapita menjelang 2025.
Berkongsi data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 2023, beliau berkata industri kurier mencapai kadar 26.1 bungkusan per kapita dan angka itu menunjukkan kemajuan positif ke arah sasaran tersebut.
Fahmi turut menyarankan Amec mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia bagi membincangkan mengenai dasar gaji progresif dalam memastikan pemberian upah yang adil kepada pekerja.