Dr Mahathir Mohamad kata saman pemula Umno bagi isu pindah milik sebidang tanah tiada kaitan dengannya.
PETALING JAYA: Bekas presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad, berkata tak timbul beliau tidak mahu melepaskan harta parti kerana beliau tandatangan surat akuan bagi permohonan kebenaran untuk pindah milik harta, bertarikh 27 Okt 2015.
Surat akuan itu, ditandatangani oleh beliau dan tiga pemegang amanah lain, dinyatakan dalam afidavit sokongan kepada saman yang difailkan oleh Umno, katanya.
“Pada 28 Dis 2015, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meluluskan kebenaran pindah milik daripada pemegang-pemegang amanah tersebut kepada Umno.
“Bagaimanapun proses pindah milik itu terbantut pada Mei 2017 kerana terdapat nama dalam geran hartanah tidak sama seperti dalam kad pengenalan,” katanya dalam kenyataan.
Pada Jumaat, Presiden Umno Zahid Hamidi dilapor berkata seorang daripada empat pemegang amanah masih belum menandatangani dokumen pemindahan milik sebidang tanah di Kuala Lumpur.
Menurutnya, firma guaman menghantar surat kepada individu terbabit untuk melepaskan pegangan itu tetapi individu itu masih belum berbuat demikian sehingga kini, lapor Berita Harian.
Sehari sebelumnya, media melaporkan Umno memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepadanya.
Menurut laporan, pemilik geran didaftarkan atas nama pemegang amanah iaitu Mahathir, Musa Hitam, Allahyarham Daim Zainuddin, dan Allahyarham Sanusi Junid.
Menurut laporan, saman tersebut menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan sebagai defendan, dan perkara ini disorot Mahathir dalam penjelasannya.
“Saman ini terhadap Pendaftar PTG Wilayah Persekutuan dan tiada kaitan dengan saya,” katanya.
Source link