Tugasan ini akan melibatkan jet pejuang F-18 dari Skuadron ke-18 TUDM dan jet pejuang F-16 dari Skuadron Udara ke-16 di Pangkalan Udara Roesmin Nurjadin, Riau. (Gambar Bernama)
JAKARTA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) merancang untuk mengadakan rondaan udara bersama selama tiga hari dari 20 hingga 22 Mei ini.
Rondaan udara bersama ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam melindungi keselamatan ruang udara kedua-dua negara.
Tugasan ini akan melibatkan jet pejuang F-18 dari Skuadron ke-18 TUDM dan jet pejuang F-16 dari Skuadron Udara ke-16 di Pangkalan Udara Roesmin Nurjadin, Riau.
Perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan Siri I Malaysia-Indonesia (Malindo) 2024 yang diadakan di Pulau Pinang, Malaysia dari 6 hingga 8 Mei lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan, TNI AU menyatakan bahawa mesyuarat ini turut membincangkan strategi untuk meningkatkan rondaan udara bersepadu dan perkongsian maklumat untuk pengawasan lebih baik di ruang udara masing-masing.
“Diharapkan kerjasama antara TNI AU dan TUDM dalam aktiviti ini dapat mengukuhkan keselamatan dan kestabilan ruang udara kedua-dua negara.
Selain itu, aktiviti ini juga menandakan komitmen bersama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata kenyataan TNI AU itu.
Mesyuarat berkenaan dihadiri delegasi Malaysia diketuai Kolonel Ahmad Edros Ahmad Osman dan delegasi Indonesia diketuai Kolonel Nana Rusmana.
Source link