Kami ingin merujuk tulisan Zul Fikri Zamir (ZF Zamir), bekas setiausaha akhbar kepada bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik, yang melontarkan pelbagai tuduhan palsu terhadap Kementerian Kewangan (MOF) di bawah pentadbiran DAP dan Pakatan Harapan.
Peruntukan, perbelanjaan dan penjimatan di Kementerian Pendidikan
ZF Zamir memetik contoh di mana bajet perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK) dan perkhidmatan kebersihan bangunan serta keselamatan (KBK) dikurangkan sebanyak 10% kepada RM427.3 juta.
Akan tetapi, ZF Zamir sengaja tidak menyebut hasrat MOF untuk semua jawatan pekerja keselamatan dilantik secara langsung oleh pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bukannya melalui pihak ke-3.
Dia juga gagal menerangkan yang mungkin mengalami pengurangan pendapatan ialah syarikat pembekal perkhidmatan dan pihak ke-3 yang sebelum ini mendapat keuntungan lumayan.
ZF Zamir perlu memahami sebarang penjimatan yang dibuat telah diperuntukkan semula kepada Kementerian Pendidikan demi melaksanakan program bagi meningkatkan lagi mutu pendidikan dengan lebih berkesan.
Ini dapat dibuktikan apabila peruntukan keseluruhan Kementerian Pendidikan meningkat lebih 7% daripada RM59.8 bilion pada 2018 kepada RM64.1 bilion tahun ini.
Malah, peruntukan pembangunan Kementerian Pendidikan meningkat hampir 22% daripada RM4 bilion pada 2018 kepada RM4.9 bilion tahun ini. Angka-angka ini terkandung dalam buku anggaran perbelanjaan persekutuan 2020 yang boleh dimuat turun orang ramai di laman sesawang MOF.
Jumlah peningkatan peruntukan bersih Kementerian Pendidikan berjumlah lebih RM4 bilion ini jauh lebih besar daripada pengurangan kasar yang menyebabkan ZF Zamir tidak puas hati.
Keputusan bersama Jemaah Menteri
Proses penjimatan dan rasionalisasi yang dijalankan kerajaan PH bukan tindakan melulu oleh MOF seperti yang diceritakan ZF Zamir.
Sebaliknya, ia merupakan hajat bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad serta keputusan bersama Jemaah Menteri untuk mengurangkan pembaziran, meningkatkan keberkesanan perbelanjaan dan mengawal pertambahan hutang dan liabiliti kerajaan yang mencecah RM1 trilion.
Peruntukan sekolah agama
ZF Zamir mempertikaikan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), tetapi tidak bersuara tentang peruntukan baru disalurkan kerajaan PH kepada sekolah agama bantuan kerajaan (RM50 juta), sekolah tahfiz (RM50 juta), sekolah agama rakyat (RM25 juta), sekolah pondok (RM25 juta) dan sekolah berasrama penuh (RM50 juta).
Yang penting, kita seharusnya membantu semua anak muda Malaysia mendapat pendidikan tanpa diskriminasi. Itu adalah tanggungjawab utama kerajaan.
ITBM dan PADU
ZF Zamir menyalahkan MOF tentang pelbagai langkah pihak lain. Sebenarnya, usaha rasionalisasi ke atas Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) dicadangkan sebuah jawatankuasa di bawah penyeliaan bekas ketua setiausaha negara (KSN).
Rasionalisasi tersebut melibatkan semua agensi kerajaan bagi memastikan tiada pertindihan fungsi sambil mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan persekutuan.
SMJK Heng Ee 2
Penubuhan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee 2 diluluskan perdana menteri semasa beliau memangku jawatan menteri pendidikan. Perkara ini bukanlah isu kerana kerajaan Barisan Nasional telah meluluskan penubuhan beberapa SMJK sebelum ini.
Tuduhan ZF Zamir bahawa SJKC boleh dibuka sesuka hati “tanpa memerlukan bacaan semula Perlembagaan” adalah tidak berasas. Faktanya adalah sebegini: di bawah Akta Pendidikan, hanya menteri pendidikan yang berkuasa menubuhkan sesebuah sekolah. Akta tersebut boleh dibaca orang ramai, termasuk ZF Zamir.
Permohonan timbalan menteri
ZF Zamir menuduh timbalan menteri pendidikan membuat permohonan kepada pejabat menteri kewangan tanpa pengetahuan menteri pendidikan.
Ini tidak benar. Malah, bekas menteri kewangan tidak pernah meluluskan peruntukan terus kepada bekas timbalan menteri pendidikan.
Apa yang diluluskan adalah peruntukan kepada sekolah, agensi di bawah Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pendidikan sendiri. Terdapat 2 contoh permohonan:
a) Bekas timbalan menteri pendidikan pernah memohon RM15 juta untuk diberikan sebagai bantuan yuran bagi golongan B40 yang menghantar anak mereka ke tadika swasta. Permohonan ini diluluskan dan peruntukan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan.
b) Bekas timbalan menteri pendidikan pernah menulis sepucuk surat rayuan kepada MOF supaya cukai taksiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebanyak RM47 juta dikecualikan.
Semua surat bekas timbalan menteri pendidikan yang ditujukan kepada MOF sentiasa disalinkan kepada menteri pendidikan dan ketua setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan.
Oleh itu, semua perkara dalam pengetahuan menteri pendidikan dan KSU kementerian ketika itu.
Akhir kata, Zamir seharusnya berhati-hati dalam membuat pelbagai tuduhan tanpa usul periksa, terutamanya apabila ia mampu mengapi-apikan sentimen perkauman.
Hafiz Noor Shams ialah bekas pegawai khas kepada bekas menteri kewangan dan Thulsi Manogaran ialah bekas setiausaha sulit kepada bekas timbalan menteri pendidikan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.