Izzuddin Md Salim memohon maaf, kesal dan tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa depan.
KUALA LUMPUR: Seorang tukang rumah didenda RM2,000 dan lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mengugut keluarga pelawak Harith Iskander pada 23 Jan lalu.
Majistret Mageswary Subramaniam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Izzuddin Md Salim, 31, mengaku bersalah di atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membuat ugutan menerusi pesanan WhatsApp yang dihantar ke telefon bimbit syarikat milik Dr Jezamine Lim iaitu bekas isteri Harith.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Harith Iskander dan Dr Jezamine Lim hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk mengikuti prosiding pendakwaan tukang rumah yang mengugut keluarga mereka.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Izzuddin turut memohon maaf kepada mahkamah dan menyatakan rasa kesal dengan tindakannya terbabit.
“Saya minta maaf banyak-banyak.
“Saya minta hukuman denda (ringan) kerana ini kesalahan kali pertama, saya janji tidak akan ulang untuk selama-lamanya,” kata tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Harith dan Jezamine turut hadir pada prosiding itu.
Ketika ditemui selepas prosiding, Harith berkata pihaknya menerima keputusan mahkamah itu.
Ditanya mengenai permohonan tertuduh, Harith berkata Izzuddin hanya menjawab soalan daripada Mageswary.
“Dia bercakap dengan hakim. Bagi saya kita dah dapat keputusan dan ‘move on’ dari sini,” katanya.
Jazmine ketika diminta mengulas permohonan maaf dan perjalanan prosiding itu hanya mengalirkan air mata.
Source link