BANK Negara Malaysia (BNM) mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.
Dengan itu, kadar koridor tertinggi dan terendah bagi OPR masing-masing diturunkan kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
Dalam kenyataan dikeluarkan, BNM berkata, keadaan ekonomi global merosot dalam tempoh kebelakangan ini.
“Pengurangan dalam OPR bertujuan menyediakan persekitaran monetari lebih akomodatif bagi menyokong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dalam keadaan harga yang stabil.
“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.
“Selain itu, wabak Covid-19 mengganggu aktiviti pengeluaran dan aktiviti berkaitan dengan perjalanan, terutama di rantau ini.
“Hal ini mendorong kegiatan penghindaran risiko lebih ketara, lantas mengakibatkan keadaan kewangan lebih ketat dan mendadak semula volatiliti pasaran kewangan,” katanya.
BNM berkata, risiko kepada prospek pertumbuhan global meningkat, terutama dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, beberapa negara melaksanakan tindak balas dasar dengan jangkaan pelaksanaan beberapa langkah dasar, tindakan ini dijangka boleh mengurangkan impak ke atas ekonomi akibat wabak Covid-19.
Sementara itu, BNM mengeluarkan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital dikemas kini dan menggabung cadangan rangka kerja pengawalseliaan yang dipermudah untuk bank digital dan boleh digunakan pada fasa asas.
Bank pusat itu dalam kenyataan berkata, rangka kerja dipermudahkan itu bertujuan mengurangkan beban pengawalseliaan untuk peserta baharu dengan nilai tawaran kukuh untuk pembangunan ekonomi Malaysia selain memelihara integriti serta kestabilan sistem kewangan.
“Ciri-ciri utama rangka kerja pengawalseliaan yang dipermudahkan ini termasuk keperluan kecukupan modal yang mana kategori risiko bagi pengiraan komponen risiko kredit dan risiko pasaran bagi aset berwajaran risiko di bawah rangka kerja modal Basel II yang telah diselaras menjadi kategori lebih mudah.
“Draf yang dikemas kini itu turut meliputi keperluan mudah tunai yang mana sebanyak 25 peratus daripada liabiliti dalam kunci kira-kira bank digital itu perlu dipegang dalam bentuk aset mudah tunai berkualiti tinggi,” katanya. – Bernama