GEORGE TOWN: Universiti Putra Malaysia (UPM) menolak dakwaan seorang pensyarahnya yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling meneruskan tugasnya tanpa memaklumkan pihak lain, beliau pernah menghadiri acara itu yang dikaitkan dengan banyak kes jangkitan Covid-19 di negara ini.
Naib Canselor UPM, Aini Ideris berkata pensyarah itu tidak menunjukkan sebarang simptom selepas dikuarantin 14 hari oleh pihak berkuasa kesihatan universiti awal bulan ini.
Katanya, pensyarah itu menghadiri perhimpunan tabligh pada 1 Mac lalu, tetapi tidak lama di sana kerana beliau meninggalkan acara berkenaan selepas 2 jam apabila mendapati sesi itu diadakan untuk jemaah yang berminat berdakwah selama 4 bulan.
Pensyarah itu kemudian diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai 12 Mac lalu, sejajar nasihat Kementerian Kesihatan.
Beliau turut dipantau kakitangan pusat kesihatan UPM setiap 2 hari.
Setakat semalam, Aini berkata, pensyarah itu yang merupakan prof madya belum menunjukkan sebarang simptom virus itu.
Disebabkan arahan baru Kementerian Kesihatan, katanya, pensyarah terbabit menjalani ujian saringan Covid-19 di Hospital Kajang.
“Hospital akan menghubungi pensyarah itu dan universiti untuk memaklumkan jika beliau positif virus berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
“Kami menafikan dakwaan kakitangan itu tidak mematuhi protokol ditetapkan Kementerian Kesihatan kerana kami sudah melakukannya sejak mula lagi.”
Aini berkata, UPM turut mematuhi langkah ditetapkan Kementerian Kesihatan, termasuk memantau semua pelajarnya melalui borang dalam talian untuk menilai risiko mereka dijangkiti Covid-19.
Semalam, satu mesej WhatsApp dihantar kepada FMT mendakwa pensyarah itu gagal memaklumkan dirinya pernah menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling dan meneruskan pengajaran seperti biasa.
Mesej itu mendakwa pensyarah terbabit enggan menjalani ujian saringan.
Sebanyak 1,624 kes positif dilaporkan setakat ini dengan 16 kematian dicatatkan setakat semalam.