GEORGE TOWN: Pulau Pinang hari ini melancarkan inisiatif tanpa tunai di pasar awam seluruh negeri itu sebagai langkah mengurangkan kontak atau sentuhan antara pembeli dan peniaga di pasar awam.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, langkah itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 dengan melantik 282 jurulatih digital yang berperanan sebagai pihak yang memberi tunjuk ajar kepada peniaga dan pengguna dalam menggunakan platform e-pembayaran.
“Bagi memastikan inisiatif ini mencapai sasaran, kerajaan negeri akan melantik seramai 250 jurulatih digital bagi promoter dan 32 jurulatih digital bagi komuniti (dalam masa terdekat) yang akan ditugaskan di pasar awam untuk memberi tunjuk ajar kepada peniaga dan pembeli supaya lebih memahami kaedah e-pembayaran dengan lebih mendalam, selain mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif itu di Pasar Awam Bayan Baru di sini.
Beliau berkata, atas dasar keprihatinan kerajaan negeri terhadap mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, jurulatih digital bagi promoter yang dilantik akan dibayar secara bulanan sebanyak RM500 dan RM1,000 bagi jurulatih digital komuniti masing-masing bagi tempoh 6 bulan dan setahun.
“Kerajaan negeri turut menyasarkan menjelang Disember ini, 90% daripada jumlah keseluruhan 56 pasar awam menerima e-pembayaran, manakala 70% daripada 5,000 peniaga menerima e-pembayaran.
“Selain itu, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 transaksi jual beli menggunakan kaedah pembayaran digital,” katanya.
Chow berkata, bagi menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai, kerajaan negeri menjemput 17 institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank yang menawarkan pelbagai insentif kepada peniaga.
“Insentif tersebut antaranya membabitkan pengecualian yuran pendaftaran, bayaran sewa, deposit, pemasangan dan yuran penyelenggaraan tahunan untuk terminal POS untuk tempoh tertentu selain pengurangan caj kadar diskaun peniaga (MDR) serta pemberian ganjaran untuk peniaga e-pembayaran,” katanya.
Institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank terbabit, termasuk Maybank, CIMB Bank, Public Bank, Hong Leong Bank, Ambank, Touch n Go Digital, Grab, Boost, Shopee, Razer, WavPay, MCash, KiplePay, GoBiz, iPay88, GHL, Fave dan Paynet untuk memigrasikan e-pembayaran di semua pasar awam di seluruh Pulau Pinang.
Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar serta Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata, inisiatif tersebut dimulakan secara perintis di Pasar Awam Tun Sardon pada 26 April lalu.
“Semenjak inisiatif tanpa tunai di pasar awam dimulakan pada bulan April lalu, penggunaan e-pembayaran di pasar awam adalah amat memberangsangkan dengan 14 pasar awam utama di Pulau Pinang (termasuk Pasar Awam Taman Tun Sardon) menerima e-pembayaran dan 991 peniaga pasar awam sudah memiliki platform e-pembayaran.
“Setakat ini juga, lebih 2,500 transaksi jual beli bernilai lebih RM55,000 dibuat oleh pengguna,” katanya.
Jagdeep berkata, setakat ini, sebanyak 28 inisiatif dilaksanakan, 17 sedang dilaksanakan dan 16 bakal dilaksanakan di Pulau Pinang, menjadikan jumlah keseluruhan inisiatif pintar ialah sebanyak 61, termasuk insiatif tanpa tunai di Pasar Awam Bayan Baru.
Katanya ketika ini, terdapat 56 pasar awam di seluruh Pulau Pinang, iaitu 30 di Seberang Perai dan 26 di kawasan pulau.