Volvo Car Malaysia (VCM) mengumumkan bahawa dua SUV Flagship tujuh tempat duduknya iaitu EV EX90 dan juga XC90 facelift kini sudah boleh ditempah. Belum ada harga sebenar diumumkan, namun VCM mengesahkan bahawa kedua-duanya akan dijual pada harga sekitar RM450,000.
Pasangan EX90 dan XC90 ini dikenali sebagai 90/90 Flagship oleh VCM. Ia bakal dilancarkan serentak bagi membolehkan semua pelanggan membuat pilihan – sekiranya anda belum bersedia untuk memiliki sebuah EV penuh seperti EX90, anda masih boleh memilih model ‘separa EV’ Volvo XC90 T8 plug-in hybrid (PHEV).
Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, kami diberi peluang dahulu untuk melihat secara lebih dekat Volvo EX90 tersebut, namun unit untuk XC90 facelift masih belum didedahkan.
“Dengan pelancaran Volvo EX90 dan XC90 baharu dalam masa tedekat ini, kami akan terus maju ke arah sasaran global untuk mencapai 90 hingga 100 peratus jualan kenderaan elektrifikasi sebelum akhir dekad ini. Tahun lalu, model BEV dan PHEV kami sudah pun mewakili lebih 80 peratus daripada jumlah jualan,” kata pengarah urusan VCM Chris Wailes.


“EX90 merupakan tambahan menarik dalam portfolio BEV kami, khusus buat pemilik yang memerlukan lebih ruang, kemewahan, keselesaan dan teknologi dalam sebuah SUV elektrik sepenuhnya. Pada masa yang sama, EX90 melengkapkan XC90 baharu yang telah diberi nafas baharu sebagai model terbaik Volvo – dengan komitmen keselamatan tanpa kompromi bagi memberikan kebebasan bergerak,” tambah Wailes.
Dengan lebih fokus terhadap elektrifikasi, XC90 facelift 2025 pasaran Malaysia tidak lagi menampilkan varian asas B5 dengan sistem hibrid ringkas 48V, tetapi ia kini hanya ditawarkan dalam varian PHEV di mana bateri sistem hibrid tersebut boleh dicas seperti EV sebenar.
Jadi XC90 hanya ditawarkan dalam varian T8 AWD, dengan unit rangkaian kuasa menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder yang disuap pengecas turbo dan supercharger bagi menghasilkan kuasa 310 PS dan tork maksima 400 Nm. Kuasa berkenaan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan. Tidak cukup dengan itu, gandar belakang pula dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 145 PS/309 Nm, yang bukan sahaja memberikan kebolehan pacuan semua roda, malah menjadikan kuasa keseluruhan SUV ini berjumlah 455 PS.
Walau bagaimanapun, kuasa tersebut sebenarnya berkurangan dari versi sebelumnya yang dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 462 PS/709 Nm. Oleh itu pecutan 0-100 km/j juga sedikit lambat dengan catatan 5.4 saat berbanding 5.3 saat sebelum ini.
Untuk motor elektrik pada gandar belakang, ia dibekalkan kuasa menerusi bateri berkapasiti 18.8 kWj, membolehkan ia bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak antara 63 hingga 71 km. Ia juga boleh dicas semula seperti model EV sebenar – dengan pengecas AC 6.4 kW, cas penuh mengambil masa sehingga tiga jam.
Begitu juga dengan EX90, pasaran Malaysia hanya menerima satu varian iaitu versi paling berkuasa Twin Motor Performance, tidak seperti pasaran Thailand yang turut menerima varian lebih asas Twin Motor yang menghasilkan kuasa keseluruhan 408 PS (300 kW)/770 Nm.
Bagi varian Twin Motor Performance yang ditawarkan di Malaysia ini, ia dibekalkan dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda, yang menghasilkan kuasa keseluruhan 517 PS (380 kW) dan tork maksima 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima EX90 hanya dihadkan kepada 180 km/j sahaja.
Varian tunggal pasaran Malaysia ini (malah sebenarnya untuk semua varian EX90) dibekalkan dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 111 kWj (107 kWj yang boleh digunakan). Ini membolehkan SUV tersebut bergerak sejauh 590 km berdasarkan ujian WLTP satu cas bateri penuh.
Manakala untuk mengecas, sistem AC EX90 ini boleh menerima sehingga 11 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa 10 jam. Sistem pengecas pantas DC pula membolehkan ia menerima sehingga 250 kW, di mana cas dari 10-80% dapat dipenuhkan dalam masa 30 minit.
Volvo EX90 ini dihasilkan dengan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985 mm, menjadikannya lebih panjang dan lebar berbanding XC90 dengan ukuran 4,950 mm panjang dan 1,923 mm lebar. Walaupun EX90 ini boleh dianggap sebagai penawaran versi EV untuk XC90, ia sebenarnya dibangunkan menerusi platform evolusi SPA2 Volvo yang khas untuk dijadikan asas sebuah EV, berbanding model dengan enjin pembakaran dalaman yang menggunakan plaftorm SPA.
Jadi rupa muka EX90 ini adalah lebih mirip dengan EX30 tetapi dalam skala lebih besar – menampilkan lampu hadapan LED piksel berdefinasi tinggi yang direka dengan bentuk signatur ‘Tukul Thor’, logo dan palang ‘iron mark’ tanpa gril utama, serta diberikan ruang frunk pada bonet hadapan dengan kapasiti simpanan 37 liter.
Ia juga menampilkan bahagian sisi yang nampak lebih ‘bersih’ kerana diberikan pembuka pintu yang disorokkan. Namun imej ‘kembar’ XC90 ditampilkan pada bentuk cermin-cermin tingkat sisi yang nampak seiras seperti model PHEV berkenaan. Manakala di belakang, EX90 turut tampil dengan bahasa rekaan EV Volvo iaitu diberikan lampu belakang berbentuk-C sama seperti EX30.




EX90 varian tunggal untuk pasaran Malaysia ini menampilkan kelengkapan yang hampir sama dengan EX90 varian tertinggi di Thailand. Ia termasuk bumbung kaca panaromik, lampu tinggi aktif, serta set rim aloi 21-inci, lebih besar dari versi pasaran Thai yang hanya datang dengan rim 20-inci (ada pasaran yang diberikan pilihan sehingga 22-inci).
Manakala dalam kabin, ia diberikan paparan instrumen digital 9-inci, skrin infotainmen potret 14.5-inci (beroperasi dengan OS Android Automotive tetapi dengan sambungan Apple CarPlay tanpa wayar), sistem pendingin hawa empat-zon dan suspensi udara dengan penyerap hentap adaptif, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan serta sistem bunyi 3D Bower & Wilkins dengan 25-pembesar suara,
VCM memberikan EX90 pasaran Malaysia ini dengan upholsteri kabin menggunakan material kulit sebenar berwarna hitam, kemasan-kemasan kayu (didakwa kayu sebenar dari sumber yang dibenarkan) dalam kemasan perang cerah yang tidak digilap serta menampilkan pencahayaan bagi memberikan perasaan yang selesa.
Menerusi EX90 ini juga Volvo buat pertama kali menawarkan sistem pintu yang ditutup secara ‘lembut’. Ia juga turut diberikan cermin hadapan jenis double glazing, manakala larasan posisi roda stereng boleh dibuat secara elektronik pada skrin utama.
Beberapa konsep rekaan minalis dari EX30 turut dibawa ke EX90 ini. Antaranya papan pemuka dengan panel instrumen tanpa perumah, hanya dua suis tingkap kuasa pada sebelah pemandu (perlu menekan butang belakang terlebih dahulu untuk mengoperasikan cermin belakang).
Namun walaupun papan pemuka dan juga konsol tengah EX90 nampak ‘bersih’ dari sebarang suis fizikal, ia masih mempunyai tuil gear ‘PRND’ dan kawalan pengelap cermin serta lampu pada konsol stereng, dan juga tombol putar kawalan audio di sebelah pemegang cawan bagi memastikan kawalan-kawalan penting masih dapat dibuat dengan mudah tanpa bergantung pada skrin.
SUV tujuh-tempat duduk ini menyediakan ruang kargo pada but dengan kapasiti 310 liter. Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat (dengan nisbah 50:50) atau dibangunkan semula hanya dengan menekan butang pada panel sisi bagi memberikan ruang kargo tambahan lebih besar. Sekiranya ada barang besar dan berat mahu diletakkan pada ruang tersebut, juga terdapat suis pada panel sisi berkenaan untuk merendahkan suspensi udara EX90 ini bagi memudahkan kerja.




Jika anda ragu-ragu sama ada barang yang anda mahu masukkan ke dalam SUV ini muat atau tidak, tidak perlu rujuk pada buku manual kerana ukuran dan anggaran barang apa yang boleh muat (Will it fit) telah ‘dicetak’ terus pada panel plastik kemasan but belakang tersebut. Dan seperti biasa, tempat duduk barisan tengah EX90 ini telah dibekalkan dengan tempat duduk ‘booster’ bina dalam bagi membolehkan tali pinggang keledar memberikan ‘ikatan’ sesuai dan lebih selamat untuk kanak-kanak.
Untuk keselamatan pula, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Volvo EX90 ini beroperasi menggunakan lima radar, lapan kamera, dua kamera dalam kabin, dan 16-penderia ultrasonic. Manakala satu ‘benjolan’ yang boleh dilihat pada bahagian hadapan bumbung SUV ini pula sebenarnya adalah penderia LIDAR, yang buat masa sekarang masih lagi belum digunakan.
Kedua-dua Volvo XC90 PHEV facelift dan EX90 EV 2025 ini dijangka akan dilancarkan di Malaysia bulan depan, dan harga sebenarnya akan diumumkan ketika itu. Kami difahamkan EX90 akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, dan kemudian akan hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD) selepas itu yang akan dihasilkan oleh kilang Volvo di Shah Alam.
GALERI: Volvo EX90 Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.