SEPANG: Air mata kegembiraan menyambut kepulangan rakyat Malaysia yang menetap di Gaza, Nurul Ain Haron dan suaminya seorang warga Palestin yang berjaya dibawa keluar dari wilayah itu hasil usaha kerajaan.
Nurul Ain mengakui berat untuk beliau dan ahli keluarganya keluar dari wilayah konflik itu tetapi terpaksa mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air selepas keadaan semakin meruncing.
Beliau berkata, keputusan itu turut diambil kerana suaminya Mohamed A M Shaat, 33, perlu bekerja bagi menyara keluarganya di Palestin.
“Jika dia (suami) tidak sambung kerja, bagaimana mahu sara keluarga? Kerana di sana (Gaza), tidak mudah. Jadi kita harus keluar (dari Gaza),” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Nurul Ain dan Mohamad selamat tiba di tanah air jam 8.55 malam tadi dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines dari Kaherah, Mesir.
Menceritakan pengalamannya di Gaza, Nurul Ain berkata, beliau menerima banyak sumbangan daripada orang ramai untuk membantu penduduk di sana, tetapi bekalan makanan dan selimut tidak mencukupi.

Katanya, keadaan juga semakin mendesak sehingga ada penduduk bergaduh semata-mata untuk mendapatkan bekalan makanan.
“Israel juga menghalang sistem kiriman wang antarabangsa menyebabkan kami tidak dapat mengeluarkan wang,” katanya yang menambah beberapa ahli keluarganya turut terbunuh dalam serangan Israel di Gaza.
Nurul Ain turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, duta Malaysia di Kaherah, duta Malaysia di Qatar, Wisma Putra dan Kementerian Luar yang membantu urusan perjalanannya pulang ke negara ini.
Sementara itu, bapa Nurul Ain, Haron Hamim, 65, melahirkan rasa syukur kerana dapat berjumpa semula anaknya selepas setahun tidak bertemu.
“Saya bersyukur anak saya kembali dengan selamat. Kami sangat gembira. Pada mulanya saya sangat bimbang selepas mendengar berita perang tercetus di Gaza. Tetapi apabila melihat anak saya membantu penduduk di sana, kebimbangan saya berkurangan,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Luar mengesahkan ada satu lagi keluarga Malaysia berada di Palestin.
Bagaimanapun, Dr Nurul Ain Latif, suaminya yang juga warga Palestin dan tiga anak mereka kini berada di Tebing Barat, wilayah yang tidak terbabit dalam perang dengan Israel ketika ini.