Bekas CEO 1MDB nafi buat perjanjian elak dakwaan jenayah dengan pendakwa raya

0

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi menafikan beliau membuat sebarang perjanjian dengan pendakwa raya untuk mengelakkan pertuduhan jenayah berkaitan dana pelaburan negara itu.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi di sini dalam perbicaraan kes 1MDB Najib Razak yang beliau hanya dipanggil sebagai saksi untuk membantu siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya dipanggil JSJK sekitar 2016 dan 2017,” katanya merujuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

“Mereka tidak tahan atau reman saya.”

Shahrol menjawab pertanyaan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, sama ada pihak berkuasa melancarkan siasatan ke atasnya selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016 meminta pihak berkuasa menyiasatnya.

Katanya, tiada saman difailkan kerajaan terhadapnya untuk kecuaian berhubung peranannya dalam syarikat itu.

“Pasport saya sentiasa bersama saya. Sekatan perjalanan yang dilaksanakan ke atas saya pada Julai 2018 dibatalkan pada Januari.”

Shafee berkata, pihak pembelaan membangkitkan satu siri kejadian menunjukkan pembabitan bekas kakitangan pengurusan syarikat itu dan pegawai bank Singapura “dalam konspirasi untuk memperdaya 1MDB”.

“Sebahagian daripada mereka seperti Amhari, Azmi dan anda tidak didakwa di mahkamah,” katanya merujuk bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin dan bekas ketua pegawai kewangan 1MDB, Azmi Tahir.

“Sebagai CEO, anda sepatutnya didakwa.”

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib membantah dengan berkata, ia bukannya soalan wajar.

Shafee kemudiannya berkata, Shahrol perlu menjawab untuk membela dirinya, tetapi Shahrol tidak bersetuju dengannya.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun Ambanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada 15 Julai ini.

Pendakwaan memberitahu mahkamah, mereka akan memanggil bekas pegawai bank Singapura, Yak Yew Chee dan Kevin Michael Swampillai untuk memberi keterangan.

Swampillai ialah ketua perkhidmatan pengurusan kekayaan BSI di Singapura, manakala Yak ialah pengarah urusan.

Pada 2016, Yak mengaku bersalah atas pertuduhan pemalsuan dan kegagalan mengesan transaksi mencurigakan, menyebabkan beliau dipenjarakan 18 minggu dan didenda S$24,000.

Kerajaan Singapura turut mengarahkan cawangan BSI di negara itu ditutup atas alasan “pelanggaran serius keperluan anti-pengubahan wang, pengawasan pengurusan yang lemah dan salah laku teruk beberapa kakitangan bank”.

Source link

Leave A Reply
Bitcoin (BTC) RM459,994.33
Ethereum (ETH) RM10,791.52
Tether (USDT) RM4.23
BNB (BNB) RM2,848.29
USDC (USDC) RM4.23
XRP (XRP) RM9.94
BUSD (BUSD) RM4.19
Cardano (ADA) RM3.21
Solana (SOL) RM743.99
Dogecoin (DOGE) RM0.963564
Polkadot (DOT) RM19.34
Polygon (MATIC) RM1.00
Lido Staked Ether (STETH) RM10,793.76
Shiba Inu (SHIB) RM0.000061
Dai (DAI) RM4.23
TRON (TRX) RM1.15
Avalanche (AVAX) RM97.69