PETALING JAYA: Seorang peguam mengingatkan agar tidak melihat kejayaan Muhyiddin Yassin menyingkir Ariff Yusof sebagai speaker tanda pasti perdana menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat.
Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berkata banyak faktor perlu diambil jika undi tidak percaya terhadap Muhyiddin diperdebatkan.
“Mereka yang menyokong penyingkiran speaker boleh memilih usul itu kerana mereka mahukan pilihan raya kilat,” katanya kepada FMT.
Mengatakan pilihan raya awal hanya akan berlaku jika usul tidak percaya berjaya, beliau berkata perdana menteri kemudian perlu meminta pembubaran Dewan Rakyat.
“Jika Agong tolak, perdana menteri perlu melepaskan jawatan bersama Kabinetnya.”
Ariff tersingkir daripada jawatan speaker Dewan Rakyat pada Isnin dengan perbezaan 2 undi. Dalam undi belah bahagi, usul kerajaan untuk Ariff mengosongkan jawatan itu disokong 111 ahli Parlimen mengatasi 109 menolak.
Dua yang tidak mengundi ialah Maximus Ongkili (PN-Kota Marudu) dan Rashid Hasnon (PN-Batu Pahat) yang mempengerusikan sesi itu.
Syed Iskandar berkata, beberapa ahli Parlimen yang menyokong kerajaan ketika ini berdepan tuduhan jenayah.
“Ia bukan dalam kepentingan politik mereka untuk mengekalkan perdana menteri,” tambahnya.
“Mereka akan mahukan perdana menteri yang akan mengarahkan peguam negara tarik balik kes mereka.”
Beliau berpendapat jika undian secara kritikal dibuat, keputusannya mungkin berbeza.
“Mereka yang memilih untuk menyingkir speaker mungkin tidak akan melakukannya kerana jika usul itu gagal, itu tidak akan sama seperti undi tidak percaya.”
Beliau turut mengulas kemungkinan perdana menteri akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang memilih untuk menentang usul singkir speaker.
Katanya, sekiranya usul tidak percaya berjaya, perdana menteri tidak akan berada pada kedudukan untuk menghukum.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, speaker baru Azhar Harun perlu memanggil untuk undi tidak percaya kerana Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) mengemukakan usul baru pada 27 Jun.
Oleh kerana usul tersebut tersenarai dalam aturan mesyuarat, beliau berkata ia perlu diberi keutamaan bagi menentukan sama ada perdana menteri mendapat sokongan majoriti.
Beliau menjelaskan dalam demokrasi berparlimen, undi perlu diambil kerana keabsahan pemerintahan Muhyiddin dipersoalkan sejak 1 Mac lagi.
Bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Agong melantik perdana menteri yang pada hemat atau pertimbangannya mungkin mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 selepas seminggu kemelut politik berikutan tumbangnya pemerintahan Pakatan Harapan pada Februari.
Gabungannya terdiri daripada PPBM, Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan dari Sabah.