PETALING JAYA: Kertas siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung kes pencemaran Sungai Gong, Selangor telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, merujuk kepada Seksyen 43 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain syarikat yang didakwa, pengarah, ketua pegawai eksekutif, pengurus atau lain- lain pegawai yang seumpamanya boleh juga didakwa atas kesalahan yang dilakukan di bawah akta itu.
“Perkara ini telah dan sedang dilaksanakan dalam kes-kes jenayah alam sekitar yang dipertuduhkan di mahkamah,” katanya.
Susulan pencemaran minyak dari kilang di Sungai Gong pada Khamis lepas, loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas menyebabkan 1,292 kawasan di 7 wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memandang serius kejadian pencemaran yang semakin berleluasa di Malaysia dan ia perlu ditangani secara holistik dan proaktif.
Katanya, pencemaran di Sungai Gong, Selangor baru-baru ini memberi impak yang besar kepada kelestarian alam sekitar, ekonomi negara serta menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
“Susulan mesyuarat khas KASA dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang baru diadakan sebentar tadi, satu pasukan petugas khas cegah jenayah alam sekitar telah ditubuhkan secara rasmi yang melibatkan kerjasama antara unit penguat kuasa JAS, SPAN, Jabatan Biokeselamatan (JBK) dan polis.
“Unit yang ditubuhkan secara pentadbiran ini dijangka akan beroperasi pada awal Oktober ini,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, KASA akan mengadakan perbincangan susulan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan supaya unit itu dapat diperkukuhkan kerana ia akan melibatkan pertambahan perjawatan dan peruntukan kewangan tambahan.
Beliau berkata, mesyuarat khas KASA dan KDN juga bersetuju membolehkan polis mengambil tindakan segera ke atas penjenayah alam sekitar melalui penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 kepada pasukan itu.
“Setakat ini, perwakilan kuasa Akta Biokeselamatan 2007 telah diberikan kepada polis.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada menteri dalam negeri kerana memberikan kerjasama sehingga tertubuhnya unit ini,” katanya.
Beliau berharap dengan tertubuhnya unit itu, kerajaan akan dapat dengan lebih efektif mencegah, membendung dan menyelesaikan kes jenayah alam sekitar terancang di negara ini.