Kerajaan memperuntukan sejumlah RM32.8 juta setahun bagi pelaksanaan penyelenggaraan rutin Lebuh Raya Pan Borneo secara berperingkat, mengikut serahan selepas kontrak projek itu siap sepenuhnya, kata Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, jumlah kelulusan dana itu mengambil kira kebolehlaksanaan tahun semasa, bagi memastikan jalan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk digunakan.
Di mana pihak kementeriannya juga akan melantik syarikat konsesi melalui perjanjian penswastaan bagi menjalankan kerja penyelenggaraan terdiri daripada kerja rutin, kerja berkala turapan, kerja berkala bukan turapan dan kerja kecemasan mengikut kelulusan dari semasa ke semasa, laporan Bernama.
“Di bawah skop kerja penyelenggaraan rutin, pihak konsesi yang dilantik perlu melakukan rondaan pemeriksaan rutin jalan persekutuan dengan kekerapan dua kali seminggu. Ini untuk memastikan jika terdapat sebarang kerosakan jalan seperti jalan berlubang, kerja tampalan lubang hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 24 jam selaras dasar sifar lubang di Jalan Persekutuan seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai perancangan jangka masa panjang kementerian melibatkan urusan pengendalian lebuh raya, jenis penyelenggaraan jalan dan jumlah peruntukan untuk menyelenggara Lebuhraya Pan Borneo setelah siap projek berkenaan.
Jelas beliau, penalti akan dikenakan terhadap syarikat konsesi sekiranya tindakan yang diambil melebihi dari tempoh ditetapkan.
Menjawab soalan tambahan Ali mengenai sama ada kementerian bercadang mengkaji isu penggunaan ‘P-turn’ di Pan Borneo terutama di kawasan Saratok memandangkan banyak kemalangan berlaku, Nanta berkata, kajian sedemikian dilaksanakan sebelum ini.
“Untuk makluman, pemilihan dan jarak setiap ‘P-turn’ yang dibina di Lebuhraya Pan Borneo berdasarkan kajian trafik yang dilaksanakan sebelum ini serta mengikut spesifikasi had laju selamat berhampiran dengan kawasan berpenduduk tinggi,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.