KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual RM16.9 bilion bersih ekuiti di Bursa Malaysia setakat ini bagi 2020, menurut penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).
Bagaimanapun jika dibandingkan dengan 6 pasaran Asia yang lain, Malaysia masih mencatatkan aliran keluar bersih dana asing ke-4 terkecil dalam tempoh tersebut.
Bank pelaburan itu berkata, pelabur luar pesisir menjual RM270 juta bersih ekuiti tempatan minggu lepas, sekali gus menjadikannya minggu ke-21 penjualan bersih asing berturut-turut, berbanding dengan RM339.4 juta pada minggu sebelumnya.
“Dari segi penyertaan, kumpulan runcit dan institusi mencatatkan kenaikan mingguan dari segi purata nilai dagangan harian (ADTV) masing-masing sebanyak 37.6% dan 34.2%.
“Pelabur asing juga merekodkan kenaikan mingguan ADTV, iaitu sebanyak 29.1% kepada RM1.3 bilion yang berada di atas paras baik pada RM1 bilion,” katanya.
Secara keseluruha, FBM KLCI meningkat 2.5% bagi minggu lepas untuk ditutup pada 1,591.84, sementara ringgit meningkat 0.5% berbanding dolar AS untuk mencecah RM4.26.
Pasaran ekuiti utama di seluruh dunia terus berada dalam lingkungan positif minggu lepas disokong oleh prospek pemulihan ekonomi berikutan pelonggaran sekatan akibat pandemik Covid-19.
“Namun aliran dana asing dalam pasaran yang kami teliti menunjukkan kenaikan didahului domestik,” menurut MIDF.
Sementara itu, Brent, yang menjadi penanda aras minyak mentah, naik 1% kepada AS$43.24 setong pada Jumaat lepas, didorong oleh prospek vaksin Covid-19 dan rawatan oleh Gilead dan Moderna serta tuntutan pengangguran awal di Amerika Syarikat juga berkurangan.