Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan langkah untuk memperketatkan pematuhan dan piawaian keselamatan jalan raya melibatkan warga asing. Sebelum ini, JPJ membenarkan permohonan pertukaran lesen memandu negara asing kepada Lesen Memandu Malaysia (LMM) melibatkan kategori-kategori pemohon tertentu.
Namun demikian, bermula 19 Mei 2025, semua permohonan pertukaran lesen memandu negara asing ke LMM dihentikan. “Mana-mana rakyat negara asing yang memerlukan LMM adalah dikehendaki menjalani tatacara mendapatkan lesen tersebut seperti prosedur sedia ada, seperti yang dilalui oleh rakyat Malaysia,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Walau bagaimana pun, tambahnya, terdapat kategori pemohon yang tidak terjejas iaitu individu di bawah kor diplomatik, peserta Malaysia My Second Home dan warga negara Malaysia yang mendapat lesen negara asing sebelum memegang mana-mana kategori LMM.
Menurut JPJ lagi, warganegara asing yang berada di Malaysia untuk tempoh masa sementara iaitu kurang daripada 12 bulan dibenarkan menggunakan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara Penjanji kepada Convention on Road Traffic 1949, Geneva (Konvensyen 1949) dan Convention on Road Traffic 1968, Geneva (Konvensyen 1968).
Selain itu, bagi warganegara dari negara ASEAN, individu berkenaan hanya perlu menggunakan lesen memandu negara asal, selaras dengan ketetapan di bawah Perjanjian Mengiktiraf Lesen Memandu Domestik Dikeluarkan oleh Negara ASEAN 1985.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.