Petrol RON95 perlu diapung ikut harga pasaran secara berperingkat bagi elak rakyat panik – penganalisis
Buat setakat ini Kerajaan Madani masih belum mendedahkan lagi mekanisme yang bakal dilaksanakan dalam penentuan subsidi bersasar bagi petrol RON 95 dan diesel. Sementara menantikan keputusan dimuktamad dan diumumkan secara rasmi, ramai rakyat marhaen telah menyuarakan kebimbangan berkaitan dengan kos sara hidup yang kebarangkalian akan meningkat disebabkan pelaksanaan subsidi bersasar ini.
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, pengapungan harga bahan api RON95 mengikut harga pasaran secara beransur-ansur adalah kaedah terbaik bagi mengelakkan kejutan yang boleh menyebabkan situasi panik dalam kalangan rakyat dan peniaga.
Katanya, dalam masa sama, aktiviti penguatkuasaan juga perlu diperhebatkan bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kenaikan harga secara mendadak diambil tindakan sewajarnya.
Jelas beliau, harga RON97 adalah RM3.47 satu liter pada masa ini adalah mengikut harga pasaran, manakala harga runcit di pam RON95 adalah RM2.05 satu liter selepas mendapat subsidi kerajaan, menjadikan perbezaan antara kedua-dua jenis petrol itu sekarang agak besar iaitu RM1.42 satu liter. Di mana harga siling RON95 ditetapkan pada paras RM2.05 satu liter bermula 27 Februari 2021 dan pada ketika itu, perbezaan antara RON97 dan RON95 adalah kira-kira 30 sen satu liter.
“Sekiranya kita mengambil angka ini sebagai penanda aras bagi melaraskan harga RON95, maka perbezaan yang besar dengan harga RON97 iaitu RM1.42 satu liter perlu dirapatkan. Namun, ia perlu dilakukan secara beransur-ansur agar tidak menyebabkan kenaikan inflasi yang mendadak,” katanya kepada akhbar terbabit.
Mohd Afzanizam turut berkata pengapungan mendadak harga bahan api pernah berlaku di negara ini apabila harga RON97 dinaikkan sebanyak 78 sen satu liter pada 5 Jun 2008 menyebabkan kadar inflasi melonjak ke paras 7.7% pada bulan itu berbanding 3.8% pada bulan sebelumnya.
“Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan dalam isu pengurangan subsidi minyak ini dengan yang pertama adalah isu kuantum kenaikan harga minyak yang diperlukan bagi mengurangkan perbelanjaan subsidi. Sebaiknya kuantum kenaikan perlu dalam keadaan yang tidak mendadak.
“Isu kedua pula dari segi kekerapan untuk menaikkan harga minyak petrol bagi mengurangkan subsidi. Justeru, penggunaan kaedah ‘Automatic Pricing Mechanism’ (APM) mungkin cara yang dilihat sesuai yang mana setiap minggu harga minyak petrol yang baharu akan diumumkan. Dengan kaedah ini, rakyat boleh merancang kewangan mereka dengan lebih teratur,” katanya.
Namun berlainan pula pendapat yang dikemukakan oleh Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid yang berkata pengapungan harga bahan api sekiranya dilaksanakan secara beransur-ansur tidak membantu menyelesaikan kenaikan kadar inflasi.
Katanya, hal ini kerana pasti ada peniaga dalam rantaian nilai perniagaan yang akan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berkali-kali atas alasan kenaikan harga bahan api, selain masalah penguatkuasaan memandangkan kekurangan anggota agensi kerajaan untuk memantau semua stesen minyak di seluruh negara terutama sekali dengan kawalan pembelian dan mekanisme di stesen.
Justeru, beliau berpendapat bahawa pengapungan itu perlu dibuat terus mengikut harga semasa, bukan dilaksana secara berperingkat.
“Kenaikan yang mendadak pasti membimbangkan kerana harga minyak mentah semasa dalam trend meningkat kesan daripada krisis di Asia Barat, namun penangguhan beransur juga tidak memadai untuk mencapai usaha kerajaan menurunkan defisit perbelanjaan negara dan hutang semasa,” katanya.
Sama ada rakyat sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan atau pun tidak berkaitan dengan kenaikan kos sara hidup, apabila subsidi ini dilaksanakan, ‘tiada pusingan-U dari kerajaan’, bak kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.