Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memberi amaran kepada orang ramai agar tidak berkongsi sebarang kandungan yang diklasifikasikan bawah Akta Rahsia Rasmi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Polis akan menilai keperluan menugaskan anggota polis menjaga keselamatan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin selepas keluarga itu memfailkan laporan berhubung kandungan didakwa maklumat siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu ‘dibocorkan’.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memberitahu FMT, pihaknya akan ‘menilai’ tahap keselamatan pasangan itu, yang didakwa atas tuduhan pengabaian pada Khamis, selepas pada mulanya disiasat atas kesalahan membunuh.
Terdahulu, Hussein mengesahkan, dua laporan difailkan berhubung kebocoran maklumat itu – satu oleh keluarga Zayn dan satu lagi oleh pegawai penyiasat kes itu.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail turut menasihatkan keluarga Zayn supaya membuat laporan polis jika berasa terancam disebabkan penyebaran kandungan itu. Menurutnya, menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan mereka.
Hussein memberi amaran kepada orang ramai agar tidak berkongsi sebarang kandungan yang diklasifikasikan bawah Akta Rahsia Rasmi. Tindakan sedemikian, katanya, akan mengganggu siasatan dan proses pendakwaan suspek di mahkamah.
Katanya lagi, tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang didapati berkongsi kandungan didakwa maklumat siasatan pembunuhan Zayn itu.
Zayn, seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun, ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun tidak jauh dari kediamannya di Damansara Damai, Selangor, pada 6 Dis lepas, sehari selepas dilaporkan hilang.
Bedah siasat mendapati beberapa kecederaan di badannya, termasuk kecederaan mempertahankan diri, dan dia dipercayai meninggal dunia akibat dicekik.
Khamis lepas, bapa Zayn, Zaim Ikhwan Zahari, dan ibunya, Ismanira Abdul Manaf, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Source link