KUALA LUMPUR: Ikuti laman ini untuk perkembagan terkini sekitar Covid-19.
6:45pm: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan Covid-19 kerana masih belum ada penawar atau vaksin.
Mahathir berkata rakyat dilihat tidak begitu serius menangani ancaman tersebut.
Dalam satu video di FB, beliau memberi amaran virus itu wabak “luar biasa” dan boleh membawa kepada kematian jika tidak berhati-hati.
“Banyak yang perlu dilakukan bukan sahaja oleh kerajaan tetapi kita sendiri untuk selamat daripada virus ini.”
6:10pm: Semua aktiviti di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat ditangguhkan di Wilayah Persekutuan bermula esok hingga 25 Mac ini.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Bakri dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, setiap jawatankuasa masjid dan surau disarankan untuk membuat operasi pembersihan dan proses pembasmian kuman sebagai langkah membendung penularan jangkitan Covid-19.
5:37pm: Kerajaan pastikan bekalan keperluan asas mencukupi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau mengarahkan kementerian memastikan bekalan makan mencukupi.
Ketika mengulas pembelian panik dalam kalangan rakyat beliau berkata: “Kerajaan bersikap telus, rakyat jangan risau, bekalan makanan mencukupi.”
Beliau juga berkata tidak berlaku kejadian bekalan barangan makanan habis di pasaran dan menasihatkan rakyat supaya membeli barang yang hanya diperlukan.
Muhyiddin berkata perkara ini akan diumumkn secara terperinci pada pengumumkan malam ini.
5.35pm: Kerajaan lantik 830 jururawat kontrak
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kerajaan akan melantik 830 jururawat kontrak berdasarkan kontrak selama 2 tahun di seluruh negara bagi membantu menangani penularan Covid-19.
5:30pm: PM umum bantuan tunai, buat pengumuman penting
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin enggan mengulas sama ada kerajaan akan mengarahkan sekatan keluar-masuk (lock down). Beliau berkata, pengumuman akan dibuat malam ini.
Beliau turut mengumumkan bantuan bulanan tunai RM600 kepada semua pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bermula pada 1 Mac. Bantuan tunai ini berterusan selama 6 bulan.
5.27pm Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengatakan supaya orang ramai menunggu pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sama ada sekatan keluar-masuk akan diumumkan berkait penularan Covid-19.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan mempunyai pakar penyakit berjangkit yang mencukupi di seluruh negara.
Beliau berkata, 12 pesakit Covid-19 kini dirawat di ICU, meningkat daripada 3 pesakit semalam. Semua pesakit terbabit dengan perhimpunan di masjid Seri Petaling.
Katanya seramai 7,000 yang menghadiri perhimpunan itu juga sudah menjalani saringan Covid-19.
5.22pm: 125 pesakit baru, kes Covid-19 kini 553
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengumumkan 125 kes baru Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 553.
Beliau berkata 95 daripada kes terbaru berkait rapat dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling, 2 minggu lalu.
5.10pm: Kongsi maklumat, pembangkang Sabah beritahu kerajaan
Pemimpin pembangkang Sabah mahu kerajaan negeri kongsi maklumat tentang wabak Covid-19, mengatakan mereka tidak gembira dengan cara pihak berkuasa tangani keadaan itu.
Presiden SAPP, Yong Teck Lee berkata perkongsian maklumat adalah penting, terutama dengan media, supaya mereka boleh melapor dan memberi maklumat terkini kepada orang ramai dengan maklumat yang betul.
“Kerajaan Sabah perlu pendekatan yang telus, sistematik, dan komprehensif dalam perkara kesihatan awam,” kata Yong.
5:00pm: Universiti swasta henti kelas
Beberapa universiti swasta membatalkan kuliah. Multimedia Universiti melaksanakan pengajian dalam talian manakala INTI pula mulai esok di semua kampus. Taylor juga akan menyediakan kelas dalam talian mulai 23 Mac.
Sementara itu, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) membatalkan kelas untuk minggu ini. Monash menangguhkan program oritentasi untuk pengambilan baru, dan para pelajar dibenarkan untuk tidak ke kuliah.
4.57pm: Pulau Pinang batal semua acara awam
Semua acara awam, termasuk yang diadakan kerajaan, akan dibatalkan. Semua tempat awam termasuk sekolah dan agensi kerajaan diminta menyediakan pensanitasi dan periksa suhu badan mereka yang memasuki bangunan itu.
Lima pasar malam di Bukit Tambun juga diarahkan bercuti – Tangling (Jumaat 20/3 & 27/3); Bakap Indah (Sabtu 21/3); Kampung Baru (Ahad 22/3); Merak Jaya (Isnin 23/3 & 30/3) dan Kampung Valdor (Khamis 25/3 & 2/4)
4.50pm: Sarawak bersiap sedia hadapi Covid-19
Semua pengunjung asing dan tempatan yang memasuki negeri itu akan diberi notis duduk di rumah selama 14 hari mulai Rabu.
Semua tadika, pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah tahfiz akan ditutup selama 2 minggu mulai esok manakala institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan menangguhkan sesi akademik baru selama 2 minggu.
Fasiliti sukan awam termasuk kolam renang, stadium, dan gimnasium akan ditutup sehingga pemberitahuan kelak manakala acara-acara kerajaan membabitkan lebih 50 orang akan dibatalkan.
4:20pm: Pembelian panik landa bandar-bandar utama
Bandar dan pekan utama di Lembah Klang dilanda pembelian panik apabila orang ramai berpusu-pusu untuk membeli barang keperluan ekoran spekulasi pihak berkuasa akan mengenakan sekatan keluar masuk bagi mengawal penularan virus Covid-19.