Dua helikopter bertembung di udara ketika menjalani raptai sempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menasihatkan orang ramai tidak memuat naik atau menyebarkan video nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.
Dalam kenyataan, SKMM turut meminta pihak yang memuat naik video melibatkan insiden itu memadamkannya.
“Sebagai badan berkanun yang mengawal selia penggunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian, SKMM ingin memaklumkan orang awam bahawa penghantaran komunikasi yang mempunyai ciri-ciri mengancam, menyakitkan hati atau mengganggu orang lain, adalah satu perbuatan yang dilarang bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Pengguna internet perlu lebih sensitif dan menghormati keluarga mangsa yang ketika ini sedang bersedih atas kejadian menimpa ahli keluarga mereka,” katanya.
Pagi tadi dua helikopter bertembung di udara ketika menjalani raptai sempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Pesawat itu kemudian terhempas masing-masing di Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Nahas itu menyebabkan 10 kru dan penumpang terkorban. Susulan itu sambutan berkenaan dibatalkan dan diganti dengan majlis bacaan doa selamat serta tahlil Jumaat ini.
Source link