SKMM berkata kajian perlu dilakukan segera selepas berlaku peningkatan aktiviti memuat naik kandungan bersifat mengancam dan provokatif yang semakin berleluasa. (Gambar fail)
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) komited dalam mempercepatkan kajian ke atas kerangka pengurusan kandungan dalam talian bagi menangani kandungan provokatif yang menyebarkan isu perkauman di negara ini.
Dalam kenyataan, SKMM berkata ia perlu dilakukan segera selepas berlaku peningkatan aktiviti memuat naik kandungan bersifat mengancam dan provokatif yang semakin berleluasa dalam talian baru-baru ini.
“Sudah tiba masanya kerangka kawal selia semasa perlu dikaji semula, mengambil kira keadaan semasa di alam siber yang dilihat di luar kawalan yang memungkinkan penyebaran kandungan yang mengancam keselamatan dan keharmonian negara, pandangan ekstremisme dan palsu.
“Kajian ini merangkumi kerangka kawal selia dalam aspek pelesenan, kesesuaian hukuman atau penalti semasa serta keperluan untuk memperkenalkan undang-undang baharu,” katanya.
Katanya, negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Australia juga sudah memperkenalkan undang-undang secara langsung dalam mengawal selia platform penyedia perkhidmatan media sosial.
“Semua langkah itu bertujuan menghindari orang ramai daripada bersifat melampau dan menyebarkan pandangan berbaur provokatif ketika berada dalam talian.
“Sesungguhnya, Malaysia amat bertuah kerana mempunyai kepelbagaian dari aspek etnik, budaya, kepercayaan mahupun bahasa,” katanya.
SKMM menyeru semua pihak bersama menghormati dan menerima kepelbagaian, keterangkuman, perasaan hormat kepada kaum, agama dan Institusi Raja.
“Kita boleh mencapai matlamat ini dengan mengamalkan prinsip Rukun Negara yang bertujuan mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.