GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan membenarkan penangguhan bayaran balik hutang, khasnya untuk sektor perniagaan susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara.
Katanya, ini akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat impak virus itu ke atas rantaian bekalan dan pelancongan secara umumnya.
“PKS terdiri daripada 98.5% perniagaan dan menyumbang sehingga 37% keluaran dalam negara kasar.
“Dengan lanskap ekonomi yang pantas berubah, pakej rangsangan ekonomi RM20 bilion yang diumumkan pada lewat Februari tidak cukup untuk memenuhi keperluan rakyat.
“Berdasarkan keadaan ini, kerajaan perlu melaksanakan moratorium pembayaran hutang sebagai cara mengurangkan kesannya,” kata Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mencadangkan destinasi pelancongan ditutup kerana cuti sekolah akan bermula esok.
“Kementerian Pendidikan harus melanjutkan cuti sekolah seminggu lagi berbanding hanya seminggu mulai 14 Mac.”
Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan cuti mandatori bagi kolej, universiti dan pusat jagaan kanak-kanak.
Beliau berkata, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 perlu dibatalkan, manakala perhimpunan besar-besaran dan acara tidak penting patut dilarang bagi mengelakkan ia merisikokan kesihatan orang ramai.
“Kerajaan patut proaktif dalam menjangkakan keadaan ini tidak akan reda begitu cepat. Covid-19 tidak dapat dikawal jika rakyat tidak bekerjasama dengan membuat pengorbanan dan membantu menanganinya.”