PELANCONG domestik masih mampu menjadi antara penyumbang terbesar kepada pemain industri pelancongan yang kini berdepan cabaran Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Pameran Pelancongan Malaysia (MTF), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pameran tahun ini memberi fokus merangsang pertumbuhan pelancongan domestik yang perlahan berikutan kebimbangan umum.
Menurutnya, menerusi MTF, pengunjung ditawarkan pelbagai pakej mampu milik bagi lokasi menarik di tanah air.
“Banyak lokasi di Malaysia belum diterokai oleh rakyat kita. Jadi gunakan peluang ini untuk melancong sekali gus melonjakkan industri pelancongn tempatan.
“Harga pakej ditawarkan sangat menarik dengan lebih 200 pempamer mengambil bahagian dan optimis nilai jualan RM220 juta dapat dicapai,” katanya selepas Majlis Pelancaran MTF 2020, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Pameran bermula semalam hingga Ahad menawarkan kepada pengunjung peluang melancong di dalam negara selain pelbagai hadiah dari syarikat penerbangan dan resort eksklusif.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Mohd Zamri Mat Zain yang mewakili Menteri Pelancongan Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.
Sementara itu, Nancy dalam ucapannya berkata, pelancong domestik antara penyumbang terbesar sektor pelancongan dengan 78.2 juta pengunjung direkodkan pada 2018.
“MTF diadakan sesuai pada waktunya dengan menjadi platform terbaik kepada pemain industri dan rakyat menerokai Malaysia.
“Kementerian Pelancongan mengharapkan sokongan berterusan daripada rakyat dan pemain industri supaya terus memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.