PETALING JAYA: Dua persatuan pelajar meminta kerajaan memperhalusi cadangan membenarkan graduan asing daripada institut pengajian tinggi (IPT) tempatan bekerja sementara bagi mengelakkan pasaran pekerjaan tempatan terjejas.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Wan Arif Wan Bazli berkata kerajaan perlu mengkaji “agihan” peluang pekerjaan ditawarkan antara graduan tempatan dengan asing sekiranya cadangan itu dilaksanakan.
“Lebihkan peratusan peluang untuk anak tempatan kerana kini masih ramai lagi yang berbakat tetapi tidak dapat pekerjaan dalam bidang mereka yang akhirnya mendorong mereka untuk mencari kerja di luar negara.
“Rugi bakat anak tempatan tidak dimanfaatkan untuk kemajuan negara,” katanya kepada FMT mengulas cadangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada bulan lalu supaya graduan IPT tempatan dibenarkan bekerja sementara di negara ini
Zafrul yang dikritik termasuk oleh bekas pemimpin Umno Isham Jalil mempertahankan cadangannya itu sambil menegaskan ia dapat menjana pendapatan negara menerusi sektor pendidikan memandangkan pelajar asing banyak menyumbang kepada ekonomi Malaysia, dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM7.3 bilion tahun ini.
Katanya kerajaan juga membuka peluang itu untuk menampung kekurangan tenaga mahir di beberapa sektor termasuk elektrik dan elektronik (E&E).
Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ahmad Muntasir pula berharap kerajaan memastikan pasaran tenaga kerja domestik tidak tergugat apabila membenarkan graduan asing bekerja.
“Langkah ini agak merisaukan…seolah-olah menampakkan kerajaan mengambil jalan mudah dalam memenuhi kehendak pelabur, pada masa turut tidak yakin dengan kebolehan graduan tempatan.
“Kerajaan seharusnya melakukan kajian rentas kementerian untuk meneliti data berkaitan dengan lebih mendalam. Adakah benar institusi pengajian tinggi kita ketandusan bakat tempatan?” katanya.
Tambahnya, keutamaan perlu diberikan kepada pendidikan dan pembangunan bakat tempatan untuk memastikan keupayaan negara untuk menghasilkan bakat berkualiti sendiri.