PETALING JAYA: Seorang wanita hamil antara tiga maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dekat IOI Putrajaya pada 12.10 tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu.
“Terdapat empat warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an, iaitu dua lelaki dan dua wanita hamil dalam Perodua Viva terbabit.
“Kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas sendiri,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, dua lelaki dan seorang wanita hamil disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi wanita yang parah dikejarkan ke Hospital Putrajaya.